Saturday, 8 December 2018

IMMEDIATE EFFECTS PRODUCTS! APA NASIHAT PAKAR?



Produk mengandungi bahan terlarang atau beracun memberi kesan segera. Ia mengembirakan pengguna
Pasaran negara kini dilambakkan dengan pelbagai jenama produk kecantikan.
Jika dulu, hanya iklan jenama import muncul di kaca televisyen, tetapi kini
produk kecantikan tempatan dapat bersaing dengan iklan jenama luar dari
segi kekerapan siaran.
Tidak dinafikan usahawan mendapat hasil lumayan daripada jualan produk
kepada pengguna yang mendambakan kecantikan, sesetengahnya tanpa
risaukan kandungan bahannya. Pengusaha pula tidak mengenal usia,
malah golongan muda seawal 20-an pun berjaya menjadi pengeluar.
Tidak hairan jika ia menimbulkan keraguan di hati sesetengah pihak.
Sejauh manakah ilmu dan kefahaman pengusaha dalam bidang formulasi
bahan produk kecantikan serta kesannya?
Memang ada banyak jenama tempatan di pasaran, kebanyakannya bergantung
kepada kepakaran pihak lain untuk melakukan kajian dan penyelidikan. Namun
lebih malang apabila mereka sendiri tidak mengetahui tahap keselamatan
kandungan bahan yang digunakan. Masalah timbul pada produk yang
membabitkan penggunaan bahan kimia berbahaya seperti merkuri, hidroquinon,
tritenoin dan seumpamanya kerana ia boleh merosakkan kulit.
Semua produk yang dihasilkan pada dasarnya wajib mendapat kelulusan
daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), walaupun produk daripada
bahan apa sekalipun termasuk kimia mestilah pada kadar selamat untuk
kegunaan di kulit. Masalahnya di negara ini, penguatkuasaan belum begitu
ketat dari segi pemantauan penggunaan bahan dalam produk kecantikan
sedangkan peraturan di negara seperti Eropah, Jepun dan Korea sangat ketat.
Misalnya sesetengah bahan seperti asid kojic masih diguna berleluasa di
negara ini, tetapi diharamkan penggunaannya di negara berkenaan.

Mengapa produk yang mendapat kelulusan KKM, kemudian ditarik balik
daripada pasaran?

Ia sering berlaku sewaktu penghantaran sampel produk untuk permohonan
selamat, tetapi mungkin bahan terlarang dimasukkan kemudian iaitu di
peringkat pengilangan.

Ini kerana pengguna gemarkan produk yang memberi kesan ketara pada
kadar segera, justeru, harus berhati-hati memilih produk.

Kesan guna produk kosmetik mengandungi bahan terlarang? Apakah
pula perbezaan menggunakan produk bersumberkan bahan semula jadi?

Produk mengandungi bahan terlarang atau beracun memberi kesan segera.
Ia mengembirakan pengguna, namun tanpa disedari bahan itu sebenarnya
menghakis lapisan kulit yang mengandungi melanin. Pigmen melanin memang
membuatkan kulit gelap, tetapi ia penting sebagai pelindung lapisan kulit bawah.
Penggunaan berterusan boleh membuatkan kulit terkopek atau koyak. Apabila
lapisan melanin terhakis bermakna permukaan kulit sudah rosak, tiada lagi
perlindungan terhadap sinaran UV, justeru, ia sukar dipulihkan. Ini seterusnya
mendedahkan lapisan kulit bawah yang sensitif terhadap cahaya. Lama-kelamaan,
boleh timbul kesan hitam atau jeragat tebal. Apabila kulit sudah nipis, individu
berkenaan pantang terdedah kepada cuaca panas dan sinaran UV bagi mengelak
masalah lebih teruk. Kesan paling menakutkan apabila ia boleh menyebabkan
keradangan dan kanser kulit.
Maksudnya, produk berasaskan bahan kimia berbahaya tidak bertindak mencantikkan
kulit secara semula jadi, sementara penggunaan sumber alam bertindak dengan
cara memulihkan iaitu menggantikan sel lama dengan yang baru serta merawat
secara semula jadi dari dalam.


Pengguna boleh membuat semakan sendiri dengan merujuk kepada laman sesawang
National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) yang menyenaraikan produk
disahkan mempunyai bahan beracun dan dilarang, http://npra.moh.gov.my/ dan
semak di bawah tajuk kosmetik.

No comments:

Post a Comment